Saturday, May 29, 2010

Tahun 2010 bermulanya era 3D

Fenomena 3D telah mula menjadi perhatian penduduk dunia masa kini. Dengan kecanggihan dan kehebatan yang ditonjolkan oleh pengeluar pengeluar filem dari barat, maka terciptalah filem dalam bentuk 3D seperti Avatar, How to train your dragon, Alice in wonderland, Clash of the titans dan Shrek the final chapter.

Inilah yang kita katakan kekuatan teknologi yang menghasilkan indera kita menangkap gambaran yang akan diterima oleh otak dan seterusnya digarap menjadikan ianya benar-benar seperti kita berada didalam filem tersebut ataupun mungkin watak-watak yang berada dalam skrin berada bersama-sama dengan kita. Biarpun ianya seperti kita tertipu tetapi tahap kepuasannya adalah seperti segalanya adalah benar-benar terjadi.

Penulis juga ingin menikmati kecanggihan yang diperkatakan dengan menonton cerita Shrek Final Chapter 3D di KLCC. Kami sekeluarga telah diberi kaca mata khas untuk 3D. Setelah duduk di atas kerusi baldu yang disediakan maka mencubalah kami kaca mata khas yang diberikan itu. Gambar yang kelihatan tampak malap. Rupa-rupanya
fungsi kaca mata khas itu menyerap cahaya dan menyebabkan ianya sedikit kelam.

Lama juga untuk menyesuaikan diri dengan kaca mata tersebut. Mulanya tidak berapa selesa. Biarpun penulis memakai spek, design kaca mata khas itu lebih besar dari spek penulis. Satu masa dahulu penulis pernah melihat filem 3D tetapi kaca mata yang diberi cukup-cukup untuk muka.

Perbezaan gambar pada mata kasar jika kita tidak memakai kaca mata khas itu, gambar akan kelihatan berlapis. Mungkin itulah sebabnya teknik gambar itu ada yang jauh dan ada yang dekat.

Pengembaraan kita bersama kaca mata 3D amat mengujakan bila kita seperti bersama-sama pelakon di dalam skrin. Bila sesuatu barang dibaling atau jatuh kearah kita pasti kita akan terasa hendak mengelak kerana ianya benar-benar seperti hidup. Kadang-kadang kita akan terasa gambar pelakon seperti terkeluar dari skrin.

Pengalaman selama sejam setengah itu memang mengasyikkan dan penulis berpuas hati dengan hidangan yang disajikan. Penulis akan terus mengikuti cerita lain yang berkonsep 3D pada masa yang akan datang kerana perbezaan ketara antara filem yang biasa dan filem 3D.

Thursday, April 29, 2010

Kayns Resort Teluk Kemang


BILA BERADA di tepian pantai kita akan dapat menikmati keindahan ciptaan tuhan. Hati yang resah jadi tenang memerhatikan lambungan ombak menghempas pantai. Memerhati mentari merah perlahan lahan jatuh ke dasar lautan lalu menghibur hati lara. Perlahan lahan hari yang cerah bertukar malap menghasilkan pemandangan dikejauhan berbalam-balam.


Paling penting dengan segala ketenangan yang dialami akan dapat menghilangkan ketegangan di tempat kerja. Sekali sekala mungkin kita perlu mencari sebuah tempat peranginan untuk meredakan kerunsingan dalam menyeimbangkan tekanan dan cabaran dalam kehidupan kita sehari-hari.



Penulis kali ini cuba membawa pembaca untuk menikmati prasarana indah di KAYNS Resort yang terletak di KM14 @ Batu 9, Teluk Kemang, Port Dickson. Pada tanggal 17 Apr 2010 kami bertolak dari Bandar Baru Bangi lebih kurang jam 2 petang. Alhamdulillah kami selamat sampai ke Kayns Resort lebih kurang 3 setengah petang. Sedikit keliru apabila mencari resort ini kerana papan tanda yang bercampur dengan resort resort lain di simpang masuk. Kemudian kita terpaksa memandu jauh ke dalam untuk berjumpa dengan resort ini.

Sebenarnya percutian ini adalah salah satu agenda family day jabatan isteri penulis. 24 bilik ditempah untuk seramai 79 orang termasuk family. Selesai check in penulis sekeluarga terus masuk ke bilik di tingkat 3. Suasana bilik tidaklah begitu baik terutamanya tandas yang kelihatan kesan kesan karat atau kotor. Secara keseluruhannya tidak ada masalah besar semasa menginap di sini.

Mengikut jadual pukul 5 petang sepatutnya akan diadakan acara telematch. Tetapi biasalah bila kita berkeluarga dan apatah lagi acaranya santai acara bermula agak lewat. Namun pada pemerhatian penulis semua orang berasa puas hati. Dimulakan dengan pembahagian kepada 4 kumpulan (kuning, merah, hijau dan biru). Satu kumpulan mengandungi 8 orang ahli campuran lelaki dan perempuan. Antara acara yang dimainkan adalah masuk air dalam botol, kepit kelapa dengan kaki, tarik kelapa menggunakan gelung rotan, bawa bola pingpong dalam sudu, lari berpasangan, passing belon, bowling padang dan tarik tali. Meriah kalah sure heboh dengan aksi dan gelagat masing-masing.

Habis sahaja acara telematch maka beramai-ramailah pakat terjun kolam. Bermacam gaya dapat diperhatikan. Setelah penat mandi manda gelap pun mula melitupi bumi PD. Bagai burung pulang ke sarang, bagai kambing balik ke reban maka semua orang naik ke bilik untuk bersalin kerana masih ada lagi acara yang dinanti-nantikan.


Tiba waktu malam acara yang ditunggu-tunggu adalah BBQ dinner. Nak tahu apa yang sedap sangat tu. Tengoklah menu yang kat bawah ni. Emmm… pasti menambat selera anda kan.
Sambil itu artis-artis yang sedang meningkat naik menunjukkan skill masing-masing dengan alunan lagu-lagu dari karaoke set yang ditempah khas untuk malam tersebut. Penulis dan isteri sempat men’sumbang’kan lagu Situasi – Bunkface. Acara diselang seli dengan penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Acara tamat lebih kurang 11 setengah malam. Itu pun kerana rintik rintik hujan sudah mulai menimpa badan kami yang suci mulus ini. Memang enjoy disepanjang mala mini.

Pagi besoknya selepas sarapan, kolamlah yang menjadi tumpuan dan pada pukul 12 tengah hari kami semua check out dan menikmati hidangan makan tengah hari dari pihak hotel. Tahniah kepada penganjur kerana berjaya membuat arrangement ini. Kami pulang dengan perasaan yang puas hati.


Rancangan selepas ini mungkin akan ke Pahang. Ke mana??? Tungguuuu...


GAMBAR-GAMBAR KENANGAN SEPANJANG PERCUTIAN:


(Menggelongsor ke kolam)






Acara kemuncak telematch adalah tarik tali. 16 sepasukan. Meriah beb.




Wajah2 model Sony



Acara Polo air



Kaki Terbang




Baling belon




Bowling kelapa




Bawa pingpong dalam sudu




Bawa kelapa dengan gelong rotan




Sempat lagi berposing


Dinner pun bermula




Boss Video Design Encik Mohammad dengan Isteri







Juara Keseluruhan telematch - Kumpulan merah
(semestinya penulis bersama pasukan juara... hehe)




Antara BBQ yang mengecurkan liurku



Penulis dan Isteri berduet...
(Situasi Bunkface - kelakar org tua nyanyi lagi anak2 muda, tapi layan)


Bergambar selepas dinner


Bergambar sebelum bertolak pulang...

Gambar : Ikhsan dari Pemetik Profesional Video Design

(The End)

Friday, April 9, 2010

Bukan Karpet Merah Sebenarnya

Tertarik dengan karpet merah. Bila ada majlis anugerah mesti karpet merah ini yang akan menjadi tarikan. Apa ada dengan karpet merah ini? Kenapa tidak diletakkan dengan hamparan permaidani biru atau hijau atau warna-warna pelangi yang lain. Jika hendak mengetahui lebih lanjut tentang karpet merah boleh refer di sini.

Sebenarnya bukan karpet merah yang ingin diperkatakan. Selalunya kita akan melihat manusia-manusia yang diiktiraf melalui laluan ini. Mereka ini adalah antara orang yang terkenal. Kalau pun tak terkenal pastinya ianya dikenali oleh sekelompok peminatnya. Yalah kalau tidak orang besar, sudah tentu selebriti.

Sebenarnya bukan selebriti ini yang ingin dibicarakan. Apa yang ingin dikatakan adalah tuturkata mereka itu. Mereka-mereka ini selalunya pandai dalam menuturkan kata-kata. Tidak kira dalam bahasa melayu atau bahasa Inggeris (atau bahasa yang lain juga). Kadang kadang terasa cemburu dengan kepetahan mereka berkata kata.

Bagi sesetengah orang perkara paling dibenci adalah bercakap dikhalayak ramai. Mereka ini sebenarnya berpenyakit ketakutan pentas. Bila bercakap di hadapan orang ramai sahaja akan jadi gabra bin mabra. Suara tiba-tiba sahaja bertukar menjadi bergetar dan jika lebih lama bercakap terus hilang. Kadang-kadang penulis pun ada juga sampai ke tahap itu. (ha ha ha... gelak dalam hati sebanyak tiga harakat)

Sebenarnya bukan itu juga maksud utama tulisan ini. Yang sebenar-benarnya adalah penulis ingin berkongsi pengalaman dengan semua tentang cara-cara kita hendak melancarkan percakapan kita. Petua ini sebenarnya diberikan oleh ketua di pejabat penulis. Sengaja hendak berkongsi. Bagi yang dah tahu anggaplah sebagai ulangkaji sahaja.

Jika kita hendak melancarkan percakapan bahasa inggeris kita sebagai contohnya maka setiap hari hendaklah meluangkan masa untuk membaca petikan dalam bahasa inggeris yang boleh kita ambil dari akhbar atau bahan bacaan yang lain. Bacanya bukan secara berbisik tetapi dengan membaca kuat-kuat dan mengikut tonasi yang cantiklah. Mungkin boleh diambil masa setengah jam sehari. Jadi lama kelamaan kita akan mahir dalam membaca dan secara tidak langsung percakapan kita akan bertambah baik.

Tidak percaya??? Sila cuba.
p/s : Practice make perfect

Monday, March 29, 2010

Antara Pencinta Buku dan Mencintai Baca


Para pencinta buku pastinya tertunggu-tunggu dengan kedatangan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-29 yang berlangsung dari 19 hingga 28 mac 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra tempoh hari. Tahniah juga diucapkan kepada pihak penganjur yang berjaya mengadakan aktiviti ini saban tahun.

PBAKL telah mempertemukan syarikat-syarikat dan badan-badan yang berkaitan dengan bidang penerbitan dalam usaha mempromosikan hasil terbitan mereka. Aktiviti-aktiviti yang diketengahkan dalam PBAKL adalah seperti pelancaran buku-buku baru, seminar, persembahan, konvensyen dan bermacam-macam aktiviti telah diadakan. 5 buah dewan telah disediakan untuk 190 exhibitor dalam dan luar negara untuk mengambil bahagian.
Bagi bilangan pengunjung pula dijangkakan pengunjung tahun 2010 melebihi catatan tahun 2009 (1.5 milion pengunjung). Ini menandakan bahawa rakyat Malaysia sudah mula cinta pada buku. Jika cinta pada buku sahaja tidak ada gunanya kerana yang paling penting kita perlu memupuk semangat cinta pada membaca.

Dari pemerhatian penulis orang ramai yang pergi ke PBAKL ini sudah semestinya ingin mencari buku-buku yang diidamkan dengan harga yang lebih murah. Selain daripada itu ada yang ingin berjumpa penulis, menyertai program-program dan aktiviti yang disediakan.

Bagi pencinta buku mereka ini tidak akan teragak-agak untuk membeli apa sahaja bahan yang menarik minat mereka. Bagi yang mencintai baca pula, mereka ini lebih sistematik dalam mencari bahan-bahan yang ingin dibeli. Perlu membuat persediaan awal dengan mencari apakah bahan yang ingin dibeli dari media masa dan juga internet. Dengan ini mereka tahu apa yang ingin mereka cari disepanjang perjalanan di pesta buku nanti. Secara tidak langsung mereka dapat menggunakan masa melawat antara satu gerai ke satu gerai dalam jangka waktu lebih singkat. Bagi pencinta buku pula sudah semestinya impak yang paling besar adalah membeli bahan bacaan melebihi kadar yang sepatutnya. Ini akan menghasilkan pembaziran inventori jika buku itu tidak dibaca.

Bagi pencinta buku yang telah membeli dengan kadar yang melebihi had maka kebanyakan pembelian itu akhirnya nanti akan disimpan kemas di dalam almari hiasan sebagai pameran terhadap tetamu yang mengunjungi kediaman mereka. Bagi yang mencintai baca sudah semestinya penjadualan akan menjadi teman dalam menghabiskan bahan-bahan bacaan yang dibeli.

Walau bagaimana pun tidak ada salahnya untuk menjadi pencinta buku tetapi mestilah yang berkhemah dimana dia akan memanafaatkan segala pembeliannya tidak kira sama ada membaca sendiri, memberi pinjaman atau menghadiahkan kepada yang tidak mampu.


Janganlah kerana mencintai buku kita lupa tanggungjawab kita untuk menambah ilmu pengetahuan demi memperjuangkan nasib masa depan anak bangsa.

Gambar di sekitar PBAKL 2010:
(Kesesakkan di Karangkraf & Alaf 21)
(Kesesakkan di gerai PTS)

(Ramli Awang Murshid dengan buku terbaru Cinta Sufi)

(Lynn Dayana dengan buku terbaru - Cinta Edisi Terhad)

(Persembahan di pentas utama)


Sunday, March 14, 2010

Bila Mentari Mencecah Lautan

(Berita Harian - 13 Mac 2010)

Bila mentari mencecah lautan

gelora samudera mengalun gempar

gelegak gelodak menyumpah fitrah

terdampar kebenaran di kaki langit.


Bila mentari mencecah lautan

menghanyut ego gemuruh petaka

muncul tangan penuh barah

menongkat langit menegak kejahilan.


Bila mentari mencecah lautan

bangkit kesatria mencantas fitnah

terkulai layu manusia serigala

atas bencana yang membunuh damai.

Apakah akhirnya mentari beku

ditimbus salju antartika.



A. Hamid Halim
Bandar Baru Bangi


Hamid Picture

About Me

My photo
Dalam suram malam. Menagih satu janji. Menadah... Mengharap...