Thursday, August 30, 2012

Aku Anak Merdeka

Aku Anak Merdeka (31 Aug 2003 - Berita Harian)

 
Kibaran jalur gemilang
berombak megah
itulah mercu tanda
negara merdeka.
Rakyat bersatu
bantu membantu
itulah hasil
itulah kejayaan
datuk moyang yang berjuang.

Dengan titik peluh
keringat terbakar
darah merah mengalir
semangat perjuangan abadi
mencakar penjajah
menerjang pulang ke bumi mereka
mengerdip Malaysia ke mata dunia.
 
Itulah jasa
itulah memori yang paling berharga
datuk moyang yang berjuang tanpa henti.

Aku…
aku adalah anak yang dilahirkan selepas merdeka
hanya mendengar…
tanpa mengerti erti merdeka.
Yang aku tahu
aku dilahirkan dalam serba kesenangan
tiada kesusahan yang melanda.

Mereka…
merekalah yang mengajar aku erti merdeka
kerna apa yang aku sedar
mereka memanggilku anak merdeka.

Aku anak merdeka.



Friday, August 17, 2012

Selamat Hari Raya

Kami sekeluarga  ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin buat semua muslimin dan muslimat.
Kepada yang pulang ke kampung berhati-hati di jalan raya.
Kepada yang bermain mercun berhati-hati nanti terbakar jari.
Kepada yang terpaksa bertugas di hari lebaran tabahkan hati.
Akhir kata, jika ada kami tersalah dan terkasar bahasa ampun dan maaf kami pinta.

Tuesday, August 14, 2012

Serabut Kabut Melingkari Pelangi




Serabut kabut melingkari pelangi
menyulam suram mengait runsing
titis titis kemanusiaan
berterbangan di semesta alam
lalu pudar warna-warna kehidupan
dalam egois yang terbelenggu.

Serabut kabut melingkari pelangi
mengerkah serakah
dalam rakus nafsu
bibit bibit kebencian
terlontar dari kantung dendam
lalu menghiris bunga-bunga ceria
dalam keangkuhan yang membabi buta.

Serabut kabut melingkari pelangi
dilema kesumat memercik dendam
roda roda kehidupan
berputar dalam hutan dosa
lalu terjerat minda-minda dusta
dalam tafakur memohon kepastian.


A. Hamid Halim
Bandar Baru Bangi
(Berita Harian - 12 Ogos 2012)

Hamid Picture

About Me

My photo
Dalam suram malam. Menagih satu janji. Menadah... Mengharap...